Monday 9 January 2012

SERANGAN KELANTAN BERBISA - LIONS XII

KEKUATAN jentera serangan Kelantan, juara Liga Super Malaysia (Liga-M), harus diberi perhatian benteng pertahanan Singapura.

Ini merupakan amaran awal penolong jurulatih SingaXII, Kadir Yahaya.

Beliau telah bersama-sama jurulatih V. Sundram Moorthy di Stadium Bukit Jalil menyaksikan juara Liga-M itu tumpas 1-2 kepada juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Menurut Kadir, kekalahan Kelantan tidak bererti pasukan anak didik jurulatih Peter Butler itu tidak hebat bagi mempertahan mahkota Liga yang dimenangi mereka tahun lalu.

'Kelantan memiliki corak permainan menyerang yang cukup berbahaya. Itu tidak perlu diragukan,' kata Kadir sebelum skuad SingaXII memulakan latihan malam tadi.

Gol tunggal jaringan Norshahrul Idlan Talaha juga jelas membuktikan kemampuan The Red Warriors (gelaran Kelantan).

Jaringan itu juga membuktikan keupayaan pemain yang memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai bagi musim 2011 itu.

'Mereka adalah pasukan yang memiliki semangat bekerja keras dan sebaik mengatur serangan, mereka akan mengasak kubu pasukan lawan dengan cukup pantas,' tambah bekas pemain pertahanan nasional itu.

Sebagai langkah persediaan, Kadir menekankan para pemain pasukannya perlu memberi tumpuan sepenuhnya apabila turun ke gelanggang.

'Mereka perlu fokus dan tidak harus dilamun keyakinan kerana setiap pasukan, terutama Kelantan, adalah pencabar yang bakal membuat anda merana apabila leka,' tegas Kadir.

Jentera midfield Kelantan juga amat unggul mengatur serangan dan mereka dibekalkan pemain-pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Shakir Shaari.

'Bagaimanapun, apa yang agak masih belum kelihatan jelas ialah mengenai kombinasi para pemainnya yang mungkin belum selesa antara satu sama lain, terutamanya di kalangan beberapa muka baru kerana ada di antara pemain utamanya masih dalam senarai cedera,' ujar Kadir.

Penolong jurulatih SingaXII itu turut berpendapat perubahan pada format permainan 4-4-2 kepada 4-3-3, mungkin menjejas rentak permainan Kelantan.

Kadir juga memberi amaran bahawa sebaik mereka sudah selesa dan sesuai dengan format permainan itu, keadaan akan lebih berbahaya bagi pasukan lawan.

Barisan serangan Kelantan tidak perlu dipertikai, siapa sahaja yang diturunkan jurulatihnya pada perlawanan pembukaan nanti, perlu dihormati dan perlu diberi perhatian.

'Seperti yang saya katakan lebih awal, mereka memiliki corak permainan serangan yang pantas dan itulah yang perlu ditangani para pemain pertahanan nanti,' sambung Kadir.

Kelantan mempunyai tenaga tiga pemain import: Dennis Antwi Agyare dari Ghana dan Muhamad Ghaddar dari Lebanon, yang diturunkan ketika melawan Negeri Sembilan. Seorang lagi pemain Ghana, Emmanuel Okine, hanya akan diturunkan dalam Piala AFC.

Barisan Kemungkinan Kelantan Berdasarkan Sesi Latihan Petang Tadi : Khairul Fahmi, Aziz, Subra, Farisham, Daudsu, Shakir, Piya, Farhan, Matyo, Ghaddar dan Nurul Azwan Roya.

Sumber : Berita Harian Singapura & Facebook Page Hafizan Halim

1 comments:

Fakhruddin said...

kelantan meme biso sokmo

Post Terbaru:
Aduhaii...nak Kemana selepas SPM?

Post a Comment